Oleh Siti Fatimah Hassan
sfhassan@hmetro.com.my
KOTA BHARU: Seorang guru sekolah rendah dijatuhkan hukuman
penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam
selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol dan mencabul murid tahun
enam di makmal sains sekolah itu, pada 2009.
Hakim Rafeah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Yek
Hock Soon, 29, berasal dari Sitiawan, Perak selepas mendapati pihak pembelaan
gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Dalam penghakimannya, Rafeah berkata, tertuduh sepatutnya menjaga hubungan
antara murid dan guru yang dianggap suci serta bertanggungjawab.
Berdasarkan tuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa
antara jam 8 pagi hingga 3 petang, pada awal Ogos 2009 di makmal sains sekolah
itu di Pasir Puteh, dekat sini.
Yek didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi tuduhan kedua, Yek didakwa mencabul kehormatan mangsa, kira-kira jam 12.15
tengah hari di tempat sama, pada 17 Ogos 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika
sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali memohon mahkamah
menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan mangsa ketika kejadian hanya berusia
12 tahun tiga bulan.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa tertuduh sebagai guru
sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada murid.
Tertuduh yang diwakili Rosmizan Sulaiman memohon mahkamah mempertimbangkan keadaan
anak guamnya yang baru berkahwin pada 2010 dan mempunyai anak berusia dua
bulan.
Rafeah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan
bagi tuduhan pertama dan penjara tiga tahun serta dua sebatan bagi tuduhan
kedua.
Semua hukuman itu diarahkan berjalan berasingan berkuat kuasa semalam.
Rafeah turut membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman hingga
rayuan selesai sebelum tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM12,000.
“Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan
perlu menyerahkan pasport sekiranya ada,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/01/27
0 comments:
Post a Comment