Wednesday 8 August 2012

DUA GURU DITAHAN MILIKI DADAH DI RUMAH


SHAH ALAM: Dua guru sebuah sekolah di daerah ini bakal berdepan hukuman gantung mandatori jika didapati bersalah selepas polis yang menahan mereka menemui dadah di sebuah rumah teres setingkat di Seksyen 15 di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, sepasukan polis Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang menerima maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah menyerbu rumah berkenaan sebelum menahan empat lelaki termasuk dua guru terbabit. Hasil pemeriksaan polis merampas lapan botol ubat batuk seberat 14.8 liter, 2,200 pil pelbagai jenis yang belum dikenal pasti dan 10 pil kuda yang disimpan di dalam rumah itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata ketika serbuan, suspek terbabit enggan memberi kerjasama dan berdiam diri walaupun anggota polis mengetuk pintu rumah itu bertalu-talu. “Dua guru sekolah kebangsaan yang ditahan berusia 39 dan 28 tahun manakala dua lagi lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori berusia 20 dan 28 tahun,” katanya pada sidang media di sini, semalam. Semua suspek terbabit direman bermula semalam hingga 9 Jun ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) Kanun Keseksaan.
Nordin berkata, hasil siasatan mendapati rumah itu milik kelindan lori dan kini menyiasat sejauh mana aktiviti pengedaran dadah itu dan rangkaiannya.

myMetro: 4 Jun 2010

0 comments:

Post a Comment