Wednesday 8 August 2012

12 PENUNTUT SEKOLAH MENENGAH DIGANTUNG 2 MINGGU AIR KENCING POSITIF DADAH


KUCHING: Polis percaya 12 pelajar sebuah sekolah menengah di Pusa, Betong yang digantung sekolah sejak minggu lalu, kerana mengambil dadah mempunyai kaitan dengan guru sekolah itu yang ditahan kerana disyaki mengedar dadah, petang kelmarin. 
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat dan menyiasat sama ada pelajar terbabit hanya penagih dadah atau turut menjadi orang tengah kepada guru itu. 

“Setakat ini hanya lima pelajar disoal siasat berhubung kes itu dan dengan maklumat yang diperoleh daripada mereka, kita dapati mereka mendapat bekalan dari guru berkenaan.

“Polis menghadapi masalah untuk meneruskan siasatan terhadap baki pelajar terbabit kerana mereka masih digantung sekolah.

"Kita akan menjalankan ujian air kencing mengejut terhadap semua mereka untuk kali kedua sejurus kembali ke sekolah minggu depan.

"Mereka digantung sekolah sejak minggu lalu, selepas ujian air kencing yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati positif," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, polis Betong menahan guru lelaki itu yang berasal dari Semenanjung kerana menjual dadah dan pil khayal kepada pelajar di sekolah berkenaan. Polis turut menjumpai 1,862 pil nospan bersamanya.

Ketika tangkapan di Jeti Sungai Saribas, Pusa, kira-kira jam 4.30 petang, suspek yang berusia 26 tahun dan berasal dari Kedah dalam perjalanan pulang ke Beladin bersama isteri dan seorang anaknya berusia setahun enam bulan selepas dipercayai mengambil bekalan dadah dari Kuching.

Bukhori berkata, suspek disyaki mengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, ketika ditahan suspek cuba melawan dan cuba melarikan diri namun terpaksa menyerah selepas dikepung polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatannya.

"Selain sejumlah pil nospan yang dianggar bernilai lebih RM1,000, turut ditemui dadah jenis ganja,” katanya.

Guru itu kini sedang ditahan reman empat hari, bagi membolehkan siasatan lanjutkan dijalankan. Bagaimanapun, isterinya akan dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 hari ini kerana anaknya masih menyusu badan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Dr Julaihi Bujang, berkata dua pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Betong sudah dihantar untuk mendapatkan maklumat mengenai penahan guru terbabit untuk membolehkan pihaknya mengambil tindakan susulan.

Beliau berkata, mengikut undang-undang, jika guru didapati bersalah kerana memiliki dan mengedar dadah oleh mahkamah, dia boleh dibuang kerja.

0 comments:

Post a Comment